mutakhir

Rahsia kedai buruk

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SOROK minuman keras diseludup bernilai hampir RM1 juta di dalam kedai buruk di Taman Putera Indah, Tongkang Pecah di sini.

Itu antara taktik lima penyeludup warga tempatan yang diberkas anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor kerana menyembunyikan 29,062 botol minuman keras, semalam.

Dalam serbuan jam 7.30 pagi itu, polis turut merampas lori dan dua van dipercayai digunakan untuk mengangkut minuman keras berkenaan.

Pemangku Komander PPM Wilayah Dua Johor, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, rampasan itu dilakukan dua pegawai dan 13 anggota dari Markas Operasi PPM Wilayah Dua Johor bersama Markas Operasi PPM Wilayah Dua Muar selain dibantu tiga anggota dari Balai Polis Tongkang Pechah.

“Pemeriksaan menemui sejumlah kotak berisi minuman keras di dalam premis dan lori.

“Dalam serbuan itu juga, pasukan serbuan merampas sebuah lori dan dua van yang digunakan untuk mengangkut minuman keras berkenaan.

“Rampasan minuman keras dan kenderaan di premis itu dianggarkan bernilai lebih RM1.69 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 56 tahun bagi membantu siasatan.

Pihaknya menyeru orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan rokok, minuman keras, mercun dan dadah melalui talian 07-2372221 atau 2372222.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 7:00am
d