mutakhir

Curi, lerai, jual...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TUJUH ahli sindiket curi dan leraikan komponen kenderaan yang dikehendaki kerana aktif mencuri kenderaan sekitar Lembah Klang dan Perak akhirnya berjaya ditahan polis.

Kesemua suspek yang berusia sekitar 20 tahun hingga 40 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dalam dua serbuan Taman Bukit Sentosa, Selangor dan di Alor Gajah, Melaka.

Ketua Polis Daerah Subang Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, tangkapan dibuat sejak awal November lalu apabila menahan empat lelaki di Taman Bukit Sentosa, Selangor.

Katanya, susulan itu polis kemudian membuat serbuan di sebuah premis di Jalan Lendu, Alor Gajah dan menahan tidak lagi lelaki.

“Kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hasil pemeriksaan mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek pertama mempunyai 14 rekod jenayah serta tujuh kes dadah dan dikehendaki dalam dua kes, suspek kedua mempunyai empat kes jenayah dan tiga kes dadah, suspek ketiga pula mempunyai dua kes dadah.

“Suspek keempat mempunyai 15 kes jenayah, tiga kes dadah serta dikehendaki polis dan suspek kelima pula mempunyai satu rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis turut menemui semula lima kenderaan yang dicuri selain beberapa komponen kereta yang sudah dileraikan.

“Sindiket itu sudah aktif mencuri kenderaan sejak Januari tahun ini dan mereka turut meleraikan komponen kenderaan dipercayai bagi memudahkan ia dijual.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menumpaskan sindiket curi kenderaan dan menyelesaikan beberapa kes yang dilakukan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 11:18am
d