mutakhir

Tahan tujuh individu, dadah RM1.76 juta [METROTV]

Oleh BERNAMA

POLIS menahan tujuh individu termasuk ketua sindiket pengedaran dadah dan merampas 17.32 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM1.76 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Klang pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ketua sindiket berkenaan ditahan bersama pembantunya dalam serbuan pertama di kawasan parkir berhadapan sebuah hotel di Persiaran Raja Muda Musa, Klang kira-kira 7 malam.

“Kedua-dua suspek warga tempatan itu berada di lokasi berkenaan disyaki sedang menunggu pelanggan. Hasil pemeriksaan, polis merampas dua beg yang dibawa mereka disyaki mengandungi dadah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, beg pertama mengandungi lima bungkusan plastik teh cina berisi 5.2kg dadah disyaki syabu manakala terdapat empat bungkusan berisi 20,000 biji pil seberat 8.08kg dipercayai ecstasy dalam beg kedua,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal ke atas kedua-dua suspek, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan dipercayai anggota sindiket berkenaan dalam serbuan kedua pada 7.45 malam, hari sama di sekitar kawasan Pelabuhan Klang selatan.

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta jenis utiliti sukan (SUV) dibawa suspek menemukan dua bungkusan plastik mengandungi 10,000 biji pil disyaki ecstasy dengan anggaran berat 4.04kg yang diletakkan di bahagian kaki penumpang belakang.

“Dalam serbuan ketiga sekitar waktu yang sama di sebuah bilik hotel di Persiaran Raja Muda Musa, polis menahan tiga lagi lelaki tempatan dipercayai anggota sindiket terbabit serta seorang wanita Vietnam. Wanita ini dipercayai kekasih kepada seorang daripada anggota sindiket.

“Bagaimanapun, tiada dadah dijumpai dalam bilik hotel berkenaan. Pemeriksaan ke atas wanita itu mendapati, dia mempunyai pasport yang sah namun dia turut ditahan kerana disyaki mengetahui mengenai kegiatan pengedaran dadah tersebut,” katanya.

Selain rampasan dadah, turut disita dalam ketiga-tiga serbuan itu adalah dua kenderaan milik suspek bernilai keseluruhan RM210,000, wang tunai berjumlah RM1,671 serta seutas rantai emas dengan nilai semasa RM15,000, katanya.

Arjunaidi berkata, siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak awal tahun ini memperoleh dadah berkenaan daripada kumpulan pengedar lain di sekitar Lembah Klang dan menyasarkan pasaran di kelab malam.

Jelas beliau, polis sedang mengesan saki baki anggota sindiket pengedaran dadah tersebut selain memburu kumpulan yang menjadi pembekal kepada mereka.

Katanya, kesemua suspek berumur antara 24 hingga 50 tahun itu kini direman sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 1:54pm
d