mutakhir

Bicara kes Najib, Arul Kanda 13 November

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 13 November 2019 untuk pengurusan bagi menentukan tarikh perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), K Arul Kanda yang didakwa meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan bahawa perbicaraan kes tidak dapat bermula 18 November seperti yang ditetapkan selama 15 hari, sebelum ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan kes dana 1MDB yang membabitkan Najib masih lagi berlangsung dengan saksi kesembilan masih memberi keterangan.

“Sebelum ini mahkamah sudah menetapkan tarikh perbicaraan kes itu sehingga 14 November ini. Bagaimanapun ia tidak akan berakhir pada tarikh itu seperti dirancang.

“Pada 11 November ini, keputusan kes dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib akan dibacakan. Jika Najib diperintahkan membela diri, ia akan bermula pada 3 Disember hingga 19 Disember ini,” katanya.

Sri Ram turut memberitahu mahkamah bahawa beliau bersama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akram Gharib ditugaskan untuk mengendalikan kes itu.

“Saksi kes iaitu CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi adalah saksi penting kes ini dan akan memberi keterangan. Bagaimanapun Shahrol kini sedang memberi keterangan dalam kes membabitkan dana 1MDB.

“Malah ada beberapa saksi penting yang akan memberi keterangan dalam kes ini juga akan memberi keterangan dalam kes 1MDB,” katanya.

Oleh itu, Sri Ram memohon supaya tarikh perbicaraan yang ditetapkan bermula pertengahan bulan ini dilapangkan bagi memberi laluan kepada kes 1MDB.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga mengesahkan perkara itu dan berkata ia mustahil untuk selesai pada 14 November ini.

Arul Kanda diwakili peguam Jasmine Cheong.

Mahkamah sebelum ini sudah menetapkan 15 hari bermula 18 November ini sehingga tahun depan untuk perbicaraan kes ini.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 18 November hingga 29 November 2018 dan 13 Januari hingga Januari 2020.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Bagi perbuatan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan terbabit bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 2:04pm
d