mutakhir

Lakonan tak menjadi...

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

BERPURA-PURA menjadi pelanggan dengan cuba menanggalkan kain alas memasak (apron) tetapi tindakan itu sia-sia apabila ditahan penguat kuasa dalam Ops Bersepadu di sembilan premis perniagaan sekitar Selangor, semalam.

Dalam operasi bermula jam 4 petang, seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan membabitkan warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi itu tertumpu di kawasan perniagaan restoran, kedai runcit dan perkhidmatan mencuci kenderaan di Bukit Jelutong, Shah Alam serta Setia Alam.

“Daripada jumlah itu, paling ramai ditahan adalah warga Indonesia seramai 27 orang, tiga warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh berusia 20 hingga 40 tahun.

“Kami turut memeriksa 41 warga asing dipercayai melakukan pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, pemeriksaan oleh 22 pegawai dan anggota mendapati, ada dalam kalangan PATI menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang diberikan untuk bekerja.

“Ada juga memberi alasan terpaksa bekerja kerana tidak mempunyai wang untuk pulang dan kesempitan hidup di negara asal bagi mengelak ditahan.

“Siasatan juga akan tertumpu kepada majikan yang menggaji PATI dan sekiranya terdapat bukti, majikan akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Pihak JIM Selangor sentiasa komited untuk terus menjalankan operasi bagi membendung gejala PATI dari semasa ke semasa,” katanya.

Semua ditahan dibawa ke Bahagian Penguat Kuasa JIM Selangor untuk siasatan lanjut.

Mereka kini direman 14 hari mengikut Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 2:23pm
d