mutakhir

Hadiah hari lahir tak dapat, duit pula lesap

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

SEORANG kerani wanita yang teruja menanti pemberian hadiah kononnya dari luar negara akhirnya memakan diri apabila bukan sahaja tidak memperolehi bungkusan berkenaan, malah terpaksa menanggung kerugian RM35,000, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata, mangsa berusia 32 tahun berkenalan dengan seorang lelaki dikenali dengan nama Michael menerusi aplikasi WeChat pada 29 September lalu.

Katanya, selepas seminggu berkenalan, suspek memaklumkan mahu memberi hadiah sempena hari lahir mangsa pada 15 November ini.

“Beberapa hari kemudian, mangsa menerima mesej di aplikasi berkenaan kononnya dari sebuah syarikat penghantaran dan memaklumkan barang dikirim Michael sudah tiba di Malaysia dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan mangsa diminta membayar RM5,000 sebagai kos penghantaran.

“Selepas itu, mangsa diminta membuat beberapa lagi pembayaran untuk pelbagai kos dan wanita terbabit memasukkan wang menerusi tiga transaksi ke dalam nombor akaun diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhannya berjumlah RM35,000,” katanya.

Beliau berkata, selepas selesai membuat pembayaran, mangsa diminta menunggu barang berkenaan tiba, namun sehingga 4 November lalu barangan itu masih belum diterimanya.

“Mangsa cuba menghubungi Michael di WeChat tetapi mendapati akaun itu sudah tidak wujud. Mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam.

“Modus operandi adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan hadiah dari luar negara hingga mendorongnya mangsa menyerahkan wang sehingga mengalami kerugian,” katanya.

Mohd Wazir berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 3:18pm
d