mutakhir

RM20,000 nanti kaki pancing

Oleh Zaharah Anum Mohd Tuah

HADIAH keseluruhan RM20,000 menanti peserta pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2019, Ahad ini.

Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dijangka disertai 1,000 peserta di Taman Tasik Metropolitan, Kepong.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Bin Harun berkata, selain aktiviti sihat pada hujung minggu, ia dapat menanam semangat keharmonian serta perpaduan warga kota.

Beliau berkata, Taman Tasik Metropolitan Kepong seluas 90 hektar antara taman rekreasi terbesar di Kuala Lumpur yang sering dijadikan tempat beriadah warga kota.

“Acara ini boleh dijadikan waktu terbaik bersama keluarga apabila menyertai pertandingan dan seterusnya mewujudkan keceriaan bersama komuniti setempat.

“Juara pertandingan ini akan membawa pulang RM6,000 diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000.

“Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 80 menerima RM100 setiap seorang manakala ke-81 hingga 100 menerima RM50 seorang,” katanya selepas melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies termasuk patin dan jelawat bersaiz antara 4 hingga 5 kilogram di tasik itu, hari ini.

Beliau berkata, hadiah khas untuk pemenang ikan keli turut disediakan apabila juara menerima RM300, kedua RM200, ketiga hingga ke 7, RM100 dan tempat kelapan hingga ke 10 menerima RM50.

Katanya, yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini bermula 1 tengah hari hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 9:12pm
d