mutakhir

Lelaki lepas 'hajat' depan 'misi' ditahan

Oleh Shamsul Munir Safini

LELAKI yang melakukan onani di hadapan seorang jururawat di Hospital Balik Pulau (HBB) bulan lalu ditahan polis pada 5.30 petang hari ini.

Penganggur itu ditahan di sebuah rumah di Titi Teras, Balik Pulau dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau esok.

Dalam kejadian 4 petang pada 22 Oktober itu, lelaki terbabit yang juga seorang pesakit hospital berusia 45 tahun sedang menunggu di bahagian saringan hospital sebelum dia beronani.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, ketika kejadian ada seorang jururawat di hadapannya dan wanita berkenaan menjerit selepas melihat perbuatan lelaki itu.

Menurutnya, jururawat berkenaan kemudiannya menjerit meminta bantuan selain meminta suspek berhenti berbuat demikian tetapi tidak diendahkan sebaliknya lelaki itu hanya senyum.

“Susulan kejadian itu, mangsa kemudian meminta petugas lelaki untuk menghalau suspek,” katanya.

Anbalagan berkata, suspek ditahan susulan laporan dibuat mangsa kelmarin.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 10:46pm
d