mutakhir

Rampasan diesel RM919,000

Oleh Norsyazwani Nasri

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sibu merampas 100,000 liter minyak diesel yang dipercayai dimiliki tanpa lesen atau permit sah dianggarkan bernilai RM919,000 selepas menahan sebuah kapal di perairan Sungai Antu, Batang Igan, pagi kelmarin.

Komander PPM W5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, penahanan dilakukan jam 11.25 pagi oleh seorang pegawai PPM bersama tiga anggota yang melancarkan operasi di kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan, pasukan kami menemui minyak diesel yang disimpan dalam tangki kapal itu.

“Dua lelaki tempatan yang berada di dalam kapal terbabit turut ditahan selepas gagal mengemukakan permit dan surat kebenaran memiliki atau menyimpan minyak dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Katanya, kedua-dua suspek didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kedua-dua suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada pihak KPDHEP Cawangan Sibu, untuk tindakan lanjut,” tegasnya.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 6:01am
d