mutakhir

'Adiwira' alam sekitar

Oleh Nor Amalina Alias

HANYA bermodalkan baju-T terpakai, sekumpulan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, di sini, menjadi ‘adiwira’ alam sekitar apabila mencipta ‘Tbag’ menggantikan beg plastik.

Idea unik itu dizahirkan pelajar, Muhamad Amjad Ismail, Muhammad Alif Asyraf Mazlan, Wan Muhammad Amar Wan Hassan dan Muhammad Hariz Iskandar Muhd Faiz masing-masing berusia 16 tahun dalam pertandingan menyelamatkan alam sekitar, Toyota Eco Youth 2019.

Muhammad Amjad yang juga ketua kumpulan berkata, idea itu tercetus apabila melihat penggunaan plastik yang berleluasa terutama ketika membeli-belah.

Katanya, Tbag dibuat seratus peratus menggunakan pakaian terpakai yang digunting, diikat menyerupai beg dan senang dibawa ke mana-mana.

“Pada awalnya, kami menyahut cabaran pihak Toyota menyertai pertandingan ini, namun dengan kewangan yang terhad dan sekolah luar bandar, kami sepakat menampilkan projek tidak mengeluarkan kos.

“Lebih menarik, Tbag memaksimumkan promosi menyelamatkan alam sekitar melalui dua fungsi iaitu menggantikan plastik dan menggunakan bahan kitar semula,” katanya.

Hadir sama Pengetua SMK Kamil, Mohd Razak Che Yaakob.

Hasil projek itu, kumpulannya berjaya dinobatkan enam pasukan terpilih ke saringan akhir daripada 60 pasukan dari sekolah menengah seluruh negara yang bertanding pada 20 hingga 22 Julai lalu di Putrajaya.

Mereka mendapat dana RM2,000 bagi menjayakan projek sebelum ke pusingan akhir pada 13 dan 14 November ini.

Muhammad Amjad berkata, Tbag dihasil menggunakan baju terpakai dan siap kurang lima minit untuk diubah menjadi beg sandang atau beg bimbit untuk mengisi barang seperti kegunaan beg plastik.

Katanya, pasukannya turut menjayakan promosi menyelamat alam sekitar dengan memberi pendedahan cara membuat dan menggunakan beg mesra alam itu di sekitar pasar raya, sekolah dan penduduk kawasan Pasir Puteh.

“Kami jalankan kaji selidik, promosi di Instagram cara membuat Tbag, pertunjukan fesyen, kempen kesedaran dan lebih membanggakan sejak diperkenalkan kepada masyarakat kami terima lebih 500 Tbag yang dibuat pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Mereka seronok dapat mencipta Tbag sendiri dan menghias beg masing-masing, malah turut dibawa ke sekolah untuk menggantikan penggunaan beg plastik,” katanya.

Sementara itu, guru penasihat kumpulan itu, Mohamad Shahrilniza Mohd Nor berkata, Tbag berfungsi menyelamatkan alam sekitar kerana bahan baju-T terurai lebih cepat berbanding plastik yang memerlukan puluhan tahun untuk terurai.

“Cara membuatnya juga sangat senang dan jimat kerana hanya perlu cari pakaian terpakai berbanding membeli beg mesra alam sekitar yang dijual RM2 hingga RM6 di pasar raya,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 7:00am
d