mutakhir

Gagal seludup 200 kg ketum

Oleh Hamzah Osman

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi merampas sebanyak 1,100 liter minyak diesel dan 200 kilogram daun ketum dalam dua kes berasingan di perairan Kuala Perlis, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, dalam kes pertama, sebuah bot pukat hanyut ditahan kira-kira 1.5 batu nautika dari Pantai Kuala Perlis dekat Langkawi, pada jam 11.30 pagi.

“Pemeriksaan mendapati bot pukat hanyut dalam keadaan mencurigakan dan menghala ke Thailand itu dinaiki seorang tekong tempatan berusia 55 tahun.

“Anggota PPM juga menemui satu tangki aluminium disorok bahagian hadapan dan dua tong plastik dalam bot mengandungi keseluruhan 1,100 liter diesel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rosman berkata, diesel yang dirampas diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis untuk siasatan lanjut.

“Kes rampasan barangan kawalan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Terdahulu, Rosman berkata, pihaknya turut merampas 200 kilogram daun ketum di persisiran Pantai Batu Putih, Kuala Perlis, pada jam 6 pagi.

“Daun ketum terbabit yang dianggar bernilai RM10,000 diisi dalam 11 plastik dan dibawa menggunakan motosikal dipercayai juga untuk dihantar ke Thailand.

“Penunggang motosikal berjaya meloloskan diri, manakala daun ketum yang dirampas diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes kedua disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 8:35am
d