mutakhir

Ceroboh perairan curi balat

Oleh Poliana Ronnie Sidom

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan enam warga Vietnam kerana disyaki menceroboh dan merompak hasil laut negara berhampiran perairan Kinabatangan, dekat Sandakan.

Bukan saja menceroboh, malahan nelayan asing itu juga menggunakan peralatan diharamkan untuk menangkap balat (gamat).

Dalam kejadian Selasa lalu, Kapal Maritim Kota Belud mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap dan memecut ketika cuba dihampiri, kira-kira 10 malam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, pasukan keselamatan terpaksa mengejar bot asing terbabit hampir sejam sebelum ia berjaya ditahan di kedudukan 15.5 batu nautika Timur Laut Kuala Kinabatangan Besar.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat enam awak-awak termasuk tekong warga Vietnam, berumur antara 27 hingga 44 tahun. Mereka disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah.

“Bot itu juga disyaki menceroboh perairan Malaysia tanpa kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap balat secara haram dengan menggunakan peralatan besi direka khas yang ditarik sehingga sampai ke dasar laut menyebabkan kerosakan ekosistem terutamanya terumbu karang,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurut Khairulanuar, ia kes keempat bot nelayan asing Vietnam yang menyasarkan tangkapan balat, ditahan sepanjang tahun ini oleh Zon Maritim Sandakan.

Beliau berkata, nilai rampasan dalam kes berkenaan termasuk bot, peralatan dan hasil balat seberat satu tan dianggarkan RM285,000.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 9:35am
d