mutakhir

Nazrin seperti tidak mati dalam kebakaran - Saksi

Oleh Sarah Zulkifli

SAKSI kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, bahawa keadaan mayat Nazrin tidak seperti mangsa mati dalam kebakaran.

Saksi ke-13 pendakwaan, Tan Hoss Ban Agem, 29, yang juga pegawai bomba mendedahkan perkara itu ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib@Hamid di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Tahnoss yang sudah berkhidmat selama 11 tahun berkata, kebiasaannya, mangsa yang maut dalam kebakaran berkeadaan melutut atau meniarap ketika mayat mereka ditemukan pihak bomba.

SALIM: Berdasarkan pengalaman, berapa kali kamu melihat kejadian kebakaran yang menyebabkan kematian?

TAN HOSS: Lebih dari tiga kali

SALIM: Dalam keadaan lebih tiga kali itu, bagaimana keadaan mangsa terbakar?

TAN HOSS: Biasanya mangsa yang mati disebabkan kebakaran ditemui dengan keadaan yang bukan seperti mangsa ini (Nazrin).

SALIM: Keadaan mangsa lain berbeza dengan yang ini (Nazrin)?

TAN HOSS: Ya...selalunya mangsa mati dalam keadaan yang tidak normal seperti melutut atau meniarap

SALIM: Dalam kejadian ini, mayat mangsa (Nazrin) dalam keadaan kejung dan lurus?

TAN HOSS: Ya.

Saksi sama turut menjelaskan badan Nazrin ketika ditemui di bilik tidur utama di Mutiara Homes, Mutiara Damansara tahun lalu, sebagai kaku dan kejung, dengan badannya terbaring lurus.

“Jika berlaku kebakaran, mangsa biasanya cuba menyelamatkan diri mereka dan biasanya mereka akan lari dari api untuk selamatkan diri sehingga mereka tidak jumpa laluan keluar sehingga biasanya akan mati di situ.

“Pendapat saya, keadaan mangsa ini (Nazrin), seperti dia tidak cuba melarikan dirinya dan seperti tidak cuba untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Tan Hoss berkata, ketika dimaklumkan penemuan mayat mangsa oleh pegawai bomba Muhammad Rezza Rusli yang juga saksi ke-10 prosiding perbicaraan itu, dia terus memeriksa nadi dan pernafasan Nazrin.

SALIM: Apa pemeriksaan kamu buat pada mangsa?

TAN HOSS: Saya buat pemeriksaan nadi dan dengar pernafasan mangsa (Nazrin) menggunakan telinga serta mendapati mangsa sudah tidak bernyawa.

Saksi itu kemudian memaklumkan perkara itu kepada isteri mangsa, Samirah Muzaffar, 44, yang juga tertuduh pertama kes itu bahawa suaminya tidak sedarkan diri.

“Ketika itu, saya lihat keadaan isteri mangsa yang sangat agresif dan mahu rempuh untuk naik ke atas.

“Selepas itu, tertuduh beritahu sendiri dia mahu tahu suaminya sudah mati ke tidak.

“Selepas didesak tertuduh untuk memberitahu keadaan suaminya, saya melihat dia (Samirah) menarik nafas,” katanya yang turut menunjukkan keadaan Samirah menarik nafas di mahkamah.

Samirah dan dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun mengaku tidak bersalah membunuh mangsa yang ketika itu berusia 47 tahun di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 15 November ini.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 6:07pm
d