mutakhir

Laluan Pasar Kedai Payang digenangi air [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

LONGKANG tersumbat dengan bahan binaan di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, dipercayai menyebabkan laluan di hadapan Pasar Kedai Payang 2 (PKP2) hingga tapak Pasar Besar Kedai Payang lama dilanda banjir kilat buat kali kedua, minggu ini.

Jalan berkenaan dinaiki air antara 0.2 hingga 0.4 meter selepas hujan lebat melanda dalam tempoh dua jam, tengah hari tadi.

Walaupun air hujan bertakung di jalan berkenaan surut dalam tempoh satu jam, pengunjung termasuk pelancong tempatan kecewa kerana terpaksa mengharungi air ke dalam pasar.

Tinjauan juga mendapati, beberapa pengunjung terpaksa menggunakan baldi dan gayung untuk mengeluarkan air yang melimpah masuk ke dalam kereta.

Seorang pengunjung, Shamsuddin Mohd Fauzi, 35, dari Kuala Berang, meminta kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berusaha menyelesaikan masalah longkang besar tersumbat sehingga menyukarkan pengaliran air.

Katanya, kejadian jalan berkenaan ditenggelami air selepas hujan lebat adalah kali kedua berlaku minggu ini dan sangat dikesali.

“PKP2 kini menjadi tumpuan utama pelancong terutama sempena cuti sekolah ini dan cuti hujung minggu. Jika keadaan ini berterusan, ia akan memberi imej kurang baik di mata pelancong,” katanya.

Shamsuddin berkata, ketika jalan berkenaan ditenggelami air selepas hujan lebat bermula kira-kira jam 11 pagi, ratusan pengunjung termasuk dari luar negeri mengunjungi PKP2 untuk beli belah terperangkap.

Peniaga Fatimah Mamat, 56, berkata masalah banjir kilat sering berlaku di kawasan itu terutama jika hujan lebat berterusan, namun sistem pengairan yang tidak teratur dan longkang tersumbat memburukkan lagi masalah itu.

“Sebelum ini memang kawasan ini pernah beberapa kali dinaiki air, namun kali ini lebih buruk mungkin kerana longkang tersumbat dengan sisa binaan berikutan projek menaik taraf Bazar Warisan. Kita harap MBKT dapat ambil tindakan segera mengatasi masalah ini,” katanya.

Selasa lalu, kawasan sama turut dinaiki air antara 0.2 dan 0.3 meter selepas hujan lebat kira-kira dua jam selain dua lagi kawasan lain di bandar raya ini iaitu di Jalan Paya Keladi dan Jalan Banggol.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, hasil pemantauan mendapati longkang dipenuhi sampah dan pokok liar antara punca berlaku banjir kilat.

Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pembersihan secara berkala bagi mengurangkan risiko kawasan dilanda banjir kilat terutama ketika hujan lebat.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 7:02pm
d