mutakhir

Perlu peguam Malaysia wakil Hairi, Norliha

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

PEGUAM negara ini perlu dilantik bagi kes perbicaraan pasangan Hairi Muhamad dan Norliha Khamis yang didakwa mendera anak mereka di Norway.

Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ia bagi menerangkan dengan lebih lanjut mengenai kedudukan undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Selain itu, menurutnya, peguam berkenaan juga boleh menerangkan hak berkaitan supaya lebih difahami pihak berkuasa di sana.

“Peguam terbabit boleh berbincang dengan peguam di Norway bagi persiapan mewakili pasangan berkenaan dalam perbicaraan itu kelak.

“Dalam kes ini, Wisma Putra patut membantu mereka dalam apa hal sekalipun.

“Anak-anak pasangan itu juga perlu diberikan jagaan kepada orang Islam atau dikembalikan ke Malaysia, ” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas mengenai laporan penangguhan perbicaraan pasangan Hairi dan Norliha di Norway.

Hairi dan Norliha dijadualkan akan dibicarakan di mahkamah Norway tahun depan.

Sementara itu, wakil Kementerian Luar berkata, perbicaraan kes pasangan berusia 42 tahun itu ditangguhkan selepas Hairi memohon untuk diberi peluang menggantikan peguam dengan bantuan Wisma Putra.

“Sepatutnya mereka dibicarakan pada 4 hingga 6 November lalu tetapi mahkamah menangguhkan ke 2020 atas permintaan Hairi yang mahu menggantikan peguam lebih berpengalaman dalam kes berkenaan.

“Buat masa ini kita sedang berunding supaya lima anak pasangan itu dikembalikan kepada ibu bapa mereka sementara kes berlangsung atau ditempatkan di bawah jagaan keluarga Muslim,” katanya.

Berita berkaitan

Air mata di Norway

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 7:03pm
d