mutakhir

'Saya tidak malu berkongsi' [METROTV]

Oleh BERNAMA

“SAYA tidak malu untuk memberitahu atau berkongsi dengan dunia semua masalah dan kesukaran yang perlu saya lalui untuk mendapat anak,” titah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda bertitah demikian di majlis perasmian pusat fertiliti, Alpha IVF and Women’s Specialists di Petaling Jaya hari ini.

Tunku Azizah bertitah, semua kesukaran yang dialami membuat baginda memahami perasaan wanita atau pasangan lain apabila mereka tidak dapat memiliki anak mereka sendiri dan itulah yang menjadi pendorong untuk menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

“Sekarang, rasanya saya menjadi satu-satunya Permaisuri di dunia yang mempunyai empat bayi IVF (In vitro fertilization).

“Saya memutuskan untuk mempunyai yayasan fertiliti sendiri kerana mahu membantu semua wanita dan pasangan di luar sana yang tidak dapat melahirkan anak kerana masalah perubatan tertentu.

“Saya tahu bagaimana perasaan apabila tidak mempunyai anak, stigma yang kita ada mengenai wanita sentiasa dipersalahkan (untuk keadaan itu) tetapi ia sebenarnya adalah persamaan jantina,” titah baginda.

Semasa menzahirkan kesyukuran doanya dimakbulkan, Tunku Azizah juga berterima kasih kepada pasukan perubatan dan doktor atas usaha mereka dalam memperkenalkan teknologi berkenaan.

Turut hadir di majlis itu ialah Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah, Pengasas dan Pengarah Urusan Alpha IVF and Women’s Specialists Datuk Dr Colin Lee dan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Majlis itu juga menyaksikan pusat fertiliti itu memberi penajaan 15 rawatan IVF kepada TAFF.

Sementara itu, Dr Lee ketika sidang media berkata, pusat berkenaan menyediakan program Smart IVF untuk membantu pasangan dari golongan berpendapatan rendah (B40) bagi menghadapi masalah untuk hamil.

“Kos program bermula dari RM13,888. Ini adalah bentuk IVF yang dipermudah yang efektif dan mempunyai kadar kehamilan kira-kira 50 peratus bagi mereka yang berumur di bawah 35 tahun.

“Mereka juga boleh mendapatkan bantuan dari TAFF, ” jelasnya.

Dr Lee berkata, semakin moden masyarakat hari ini, semakin tinggi risiko ketidaksuburan dan kesukaran untuk mereka hamil.

Dalam banyak kes, beliau berkata, wanita di kawasan bandar kebanyakannya berkahwin selepas mencapai umur 35 tahun dan mempunyai masalah kesuburan kerana gaya hidup moden.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 11:04pm
d