mutakhir

Melaka 'dilanggar' babi

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

JUMLAH populasi babi hutan atau spesies Sus scrofa di Melaka berada pada tahap membimbangkan susulan peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka Mohd Hasdi Husin berkata, peningkatan sekali ganda itu menyaksikan 457 babi hutan dihapuskan dalam 123 operasi sepanjang tahun ini sehingga Oktober lalu.

“Kami menerima 125 aduan membabitkan 30 lokasi panas yang menjadi tumpuan spesies babi hutan ini yang mengganggu ketenteraman penduduk.

“Antara kawasan terbabit adalah Bukit Katil, Padang Temu, Semabok dan Masjid Tanah di kawasan hutan berhampiran kawasan perumahan,” katanya selepas Operasi Kawalan Basmi Babi Hutan Konflik di Pulau Besar di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Aidi Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohd Hasdi berkata, dalam pemerhatian dan operasi diadakan sekumpulan 20 hingga 30 babi dikesan namun hanya dua atau tiga ekor dapat dihapuskan kerana kepantasan haiwan itu.

“Tambahan pula, haiwan ini mudah membiak antara empat hingga enam ekor setiap ibu dengan tempoh kehamilan antara 108 hingga 120 hari menyebabkan populasinya meningkat dengan pantas.

“Di kawasan Pulau Melaka sahaja, kami menghapuskan 26 ekor hidupan liar itu,” katanya.

Menurut beliau, di kawasan Semenanjung, hanya terdapat dua spesis babi iaitu babi hutan dan babi bodoh iaitu Sus barbatus yang boleh ditemui di Sumatera dan Kalimantan selain di Johor, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 6:30am
d