mutakhir

Jadikan Rasulullah SAW contoh teragung [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yakin kerajaan akan sentiasa mengambil pendekatan untuk menjaga hak penganut berbilang agama dan bangsa di negara ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda juga yakin kerajaan berterusan dalam membantu golongan yang lemah selain terus mengawal fahaman radikal dan sebarang bentuk tindakan yang boleh menggugat keharmonian negara.

Titahnya, resipi perpaduan dan keharmonian ialah rasa hormat menghormati serta sayang menyayangi antara satu dengan yang lain dan keadilan yang berteraskan kepada syariat Islam.

“Saya berharap agar seluruh rakyat Malaysia akan dapat menghayati ajaran Islam dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan teragung.

“Kehalusan akhlak baginda akan dapat memandu kita memelihara sahsiah diri agar kita menjadi bangsa yang disegani. Kebijaksanaannya pula boleh kita jadikan inspirasi untuk memajukan diri.

“Dalam amalan pentadbiran baginda pula, kita boleh jadikannya sebagai panduan untuk membentuk sebuah negara rahmah yang bersatu padu. Justeru, janganlah kita mensia-siakannya tanpa mengambil iktibar daripada kehidupan Rasulullah,” titahnya sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut berangkat sama pada majlis itu adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, barisan Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya terus menyahut seruan untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu, aman, makmur dan maju serta berjaya dalam segala bidang.

“Sebenarnya agama Islam menitikberatkan persaudaraan sejagat dan menuntut pelaksanaan keadilan bagi semua tanpa mengira agama dan bangsa.

“Melalui pendekatan ini, hak dan masyarakat sama ada yang beragama Islam atau sebaliknya akan sentiasa terpelihara,” titahnya.

Tema Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan pada tahun ini ialah ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 11:24am
d