mutakhir

'Tak sempat saya pandang belakang...'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“HABIS bumbung rumah saya terbang ke dalam semak berhampiran walaupun angin kencang berlaku tak sampai lima minit,” kata Azizah Ibrahim, 51.

Azizah adalah penduduk Kampung Dulang Kechil, Yan, yang terjejas selepas bumbung tiga rumah di kampung berkenaan diterbangkan angin kencang, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian 10.30 pagi itu, dia berada di rumah bersama dua anak perempuannya berusia 20-an dan 30-an serta anak saudaranya berusia tiga tahun.

Katanya, ketika itu, dia hendak mengangkat pakaian di ampaian kerana hari sudah pun hujan lebat dan secara tiba-tiba, angin kencang.

“Tak sempat saya pandang belakang, bumbung rumah saya dah tiada.. rumah saya ‘cerah’ dan ketika itu, hujan mencurah-curah.

“Habis segala perabot rumah dan barangan rosak terkena air. Lebih menyedihkan apabila saya hendak mengadakan kenduri kahwin anak lelaki ketiga pada 23 November ini.

“Sedih dengan keadaan rumah yang rosak seperti ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, Azizah bersyukur kerana mereka berempat selamat dalam kejadian itu.

Katanya, setakat ini, penduduk kampung bergotong-royong meletakkan kain kanvas sebagai pelapik sementara menggantikan bumbung.

“Kos baiki bumbung pun sekurang-kurangnya RM6,000 termasuk alang kayu yang turut terbang dalam kejadian itu dan saya kena keluarkan duit sendiri untuk membaikinya.

“Dengan kenduri pun dah nak dekat, saya kena baiki bumbung secepat mungkin sebelum majlis berlangsung,” katanya yang juga ibu tunggal.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Beliau juga berharap orang ramai melaporkan kepada pihaknya untuk bantuan sekiranya kediaman mereka rosak akibat bencana.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 12:22pm
d