mutakhir

Jeck Seng temu kembali rakan 'YB'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“TAK sangka kami bertemu kembali dengan status YB. Dia ‘Yang Berhormat’ dan saya ‘Yang Bersantai,’” kata Abdul Rashid Abdul Hadi, 58, rakan lama calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Mungkin suratan atau kebetulan, namun kempen pagi Jeck Seng di Taman Awam Pontian umpama sesi ‘jejak kasih’ apabila bertemu kembali rakan kuliah selepas terputus hubungan hampir 30 tahun lalu.

Bahkan penampilan Jeck Seng tidak berubah dan gemar tersenyum membolehkan rakan lamanya itu mengimbau kembali kelas malam diikuti mereka ketika mengikuti pengajian Diploma Perniagaan di Johor Bahru.

Katanya, dia tidak sangka dapat bertemu kembali seorang rakan yang berkaliber selepas masing-masing membawa haluan sendiri.

Katanya, melihat perwatakan Jeck Seng dia merasakan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai itu mampu memikul tanggungjawab dengan baik.

“Saya rasa dia seorang pemimpin berkaliber yang boleh berkhidmat dengan masyarakat.

“Dia baik dan tidak ada masalah, sangat bertepatan untuk menjadi seorang pemimpin masyarakat untuk Tanjung Piai,” katanya.

Katanya, meskipun di awal pertemuan hari ini Jeck Seng sedikit terlupa, namun memori kelas malam diikuti mereka mengikat kembali persahabatan.

“Kami selalu usik dia di kelas. Dia tidak sombong dalam kelas dan suka membantu rakan-rakan.

“Jadi saya rasa, dia seorang pemimpin yang sangat baik sesuai dengan masyarakat majmuk negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 12:34pm
d