mutakhir

Azab sejam

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

SEORANG pekerja kilang terpaksa menahan sakit lebih sejam selepas tangan kirinya tersepit pada mesin pengupas kelapa di sebuah kilang di Lorong Pokok Assam, di Taiping, hari ini.

Dalam kejadian 10.20 pagi itu, lelaki berusia 53 tahun itu parah selepas tangannya tersepit pada mesin berkenaan sebelum ia berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.30 pagi, sebelum bergegas ke lokasi.

“Anggota BBP Taiping kemudiannya menggunakan peralatan kecemasan untuk meregangkan mesin berkenaan sehingga tangan mangsa berjaya dikeluarkan.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan sebelum dibawa ambulans ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, anggota kemudiannya memastikan lokasi berkenaan selamat sebelum operasi ditamatkan jam 11.50 pagi.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 3:03pm
d