mutakhir

'Jaga air' pun tak perasan [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

MESKIPUN menggunakan khidmat ‘jaga air’ untuk memantau pergerakan pihak berkuasa, sebuah pusat hiburan di Taman AST, Jalan Sungai Ujong, Seremban, tetap berjaya diserbu, malam tadi.

Terdahulu, pasukan risikan dari Bahagian Pencegahan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman masuk ke premis berkenaan tanpa disedari lelaki yang menjaga pintu utama ke pusat karaoke tiga tingkat berkenaan.

Selepas mendapati premis mempunyai 18 bilik karaoke itu menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing, pasukan serbuan masuk pada 10 malam.

Seramai 32 GRO sedang melayan pelanggan tidak sempat berbuat apa-apa dan ditahan bersama ibu ayam serta seorang lelaki yang ditugaskan sebagai ‘jaga air’.

Ketua Unit Pencegahan Maksiat D7, JSJ Bukit Aman, Deputi Superintendan Redzaime Abd Hamid yang mengetuai operasi berkata, serbuan disertai anggota dan pegawai dari D7 Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan serta Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban.

“Dalam serbuan ini, kami menahan 32 GRO membabitkan 20 warga China, sembilan warga Vietnam, dua warga Laos dan seorang wanita Thailand masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Kami turut menahan tiga wanita warga China dipercayai ‘mummy’ berusia 28 hingga 42 tahun. Turut ditahan lelaki yang menjaga pintu masuk utama ditugaskan mengawal pergerakan pihak berkuasa.

“Selain itu, kami menahan pengurus premis iaitu seorang lelaki warga tempatan, enam pekerja warga tempatan, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Myanmar,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, premis tiga tingkat itu mempunyai 18 bilik karaoke dan menyediakan khidmat GRO warga asing dengan kadar bayaran RM70 sejam.

Menurutnya, premis itu pernah diserbu dua kali pada tahun ini oleh IPK Negeri Sembilan dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Mereka menempatkan ‘jaga air’ di pintu masuk utama bagi memantau pihak berkuasa, namun kami berjaya mengesan kegiatan mereka.

“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Seremban untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 55b serta Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 3:50pm
d