mutakhir

Laut bergelora sehingga Selasa ini

Oleh Mohd Hilmie Hussin

AMARAN angin kencang dan laut bergelora Kategori Ketiga dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini sekali gus berbahaya kepada aktiviti pantai dan perkapalan termasuk situasi di pelantar minyak.

Menurut kenyataan jabatan itu, angin kencang berkelajuan 60 kilometer sejam (kmsj) dijangka melanda kawasan perairan utara Reef North, Layang-Layang dan Palawan yang mengakibatkan ombak setinggi 4.5 meter hari ini sehingga Selasa depan.

Amaran Kategori Kedua turut dikeluarkan di perairan timur laut Condore, selatan Reef North dan Labuan, berbahaya kepada aktiviti perkapalan termasuk penangkapan ikan dan perkhidmatan feri.

Sementara itu, ribut petir dijangka melanda perairan Tioman dan Bunguran sehingga malam ini, yang membawa angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora.

Kawasan perairan lain yang dijangka berbahaya kepada aktiviti laut seperti perairan Sabah Barat dan Sarawak Utara.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 6:49pm
d