mutakhir

Adik jumpa mayat abang

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

MAYAT abang ditemui adiknya dalam keadaan tertiarap di dapur rumah mereka di Lorong Rambutan, Kampung Sinaran Baru, Kempas, Johor Bahru hari ini.

Mayat lelaki berusia 58 tahun itu ditemui 8.30 pagi ketika adiknya ke rumah abangnya untuk membuat kerja meracun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, adik lelaki itu berusia 46 tahun mengetuk pintu beberapa kali dan memanggil abangnya tetapi tiada sahutan.

“Lelaki itu pergi ke tingkap bahagian dapur dan melihat abangnya tertiarap di bahagian dapur rumah sebelum menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan.

“Anggota bomba dan polis kemudian tiba di lokasi bagi memecahkan pintu rumah.

“Apabila pintu belakang rumah berjaya dipecahkan, abang lelaki itu dilihat sudah meninggal dunia dan berbau busuk,” katanya.

Mohd Taib berkata, jiran sebelah rumah ada memberitahu lelaki itu pernah mengadu sakit dada sebelum ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas mayat di peringkat ini mendapati tiada unsur jenayah.

“Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 8:02pm
d