mutakhir

Misi Man Gerek

Oleh Hadzlihady Hassan

CUACA sejuk dan angin kuat. Itu cabaran terpaksa ditempuh Suliman Abd Lah, 48, yang akan melakukan kayuhan solo Kembara Masjid di Jepun 2019 bermula semalam hingga 27 November depan.

Suliman atau dikenali sebagai Man Gerek akan melakukan kayuhan itu untuk berdakwah dan melihat perkembangan Islam di negara matahari terbit itu.

Menurutnya, kayuhan solo ini adalah kesinambungan Kembara Menuju Lambaian Kaabah 2018.

Katanya, sepanjang misi terbaru ini, beliau akan singgah dan bermalam di masjid.

“Saya akan melawat serta singgah untuk solat dan bermalam di lebih 20 daripada 97 masjid di Jepun sepanjang melakukan kayuhan solo ini.

“Saya akan memberi sumbangan mewakili rakyat Malaysia ke tabung masjid yang menjadi destinasi persinggahan dalam kayuhan ini,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), malam kelmarin.

Penolong Pengurus Unit Elektrik dan Elektronik Tol Plaza Jambatan Pulau Pinang itu berkata, sumbangan wang itu adalah hasil jualan buku tulisannya mengenai misi kayuhan sebelum ini.

“Untuk kayuhan kali ini, saya akan bermula dari Narita, Tokyo dan berakhir di Fukuoka dengan jarak perjalanan kira-kira 2,000 kilometer (km).

“Ketika ini musim luruh dan ia membuatkan siang lebih pendek. Saya perlu memulakan kayuhan lebih awal selain menempuh cuaca sejuk dan angin,” katanya.

Suliman berkata, beliau akan mendaki Gunung Fuji hingga ke stesen kelima dan mengambil peluang memberi ceramah motivasi di dua lokasi iaitu Osaka dan Fukuoka.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 6:35am
d