mutakhir

Kerap 'jala' sampah

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PULAU Pinang tidak saja dikenali berikutan jolokan ‘syurga’ makanan, malah keindahan pantainya turut menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Namun, pantai di negeri ini juga tidak terlepas daripada masalah sampah hanyut atau dari penempatan terdekat.

Tinjauan Metro Ahad di sekitar Pantai Bayan Mutiara, mendapati kawasan yang menjadi tumpuan kaki pancing itu dicemari dengan sampah hanyut.

Difahamkan, keadaan bertambah buruk terutama selepas hari hujan atau air pasang.

Kaki pancing yang mahu dikenali sebagai Amir, 42, berkata, dia yang memancing di situ setiap minggu kerap ‘menjala’ sampah, selain tersangkut di mata kail.

Kata Amir, sikap pengunjung yang tidak mengamalkan kebersihan juga menyebabkan keadaan bertambah buruk.

“Sering saya lihat kesan aktiviti perkhemahan atau unggun api di kawasan itu dan sampah pula tidak dibersihkan.

“Barangan seperti mangkuk dan cawan polistirena ditinggalkan di situ dan dihanyutkan ketika air pasang,” katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut Amir berkata, kawasan terbabit bukanlah menjadi tumpuan pelancongan tetapi kini menjadi lokasi peminat fotografi berikutan pemandangan berlatarkan Pulau Jerejak dan Jambatan Pulau Pinang.

Pasir yang memutih dan berhampiran kawasan hijau menjadi pilihan pengunjung bagi aktiviti berkelah.

“Lampin pakai buang, tin dan botol minuman beralkohol juga ditinggalkan merata-rata, memang di sini tiada tong sampah, sebaiknya bawalah sampah itu dan buang di tempat lain.

“Bukannya kita tidak suka pengunjung datang, tetapi sebaiknya jagalah alam sekitar ini supaya orang lain juga dapat menikmati keindahannya,” katanya lagi.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 6:40am
d