mutakhir

'Cuma jalan-jalan dalam hutan'

Oleh Erika George

“SAYA tidak sesat, saya hanya berjalan di dalam hutan dan makan apa saja buah-buahan sepanjang berada dalam hutan” kata seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam, Augustine Masir, 32.

Augustine dilaporkan hilang dari kediamannya di Rumah Panjang Minggat, Sungai Jelai, di Tatau, sejak 31 Oktober lalu, ditemui selamat selepas pulang ke rumah, 2 pagi tadi.

Menurut Augustine, sepanjang hilang, dia juga akan berehat dan tidur di pondok milik penduduk rumah panjang sekiranya keletihan.

Setakat ini, keluarga Augustine sudah membuat laporan polis berkenaan kepulangannya di Balai Polis Tatau, 8 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Dennis Bunyam berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Augustine ditamatkan serta-merta selepas dia pulang. “Kes sudah selesai dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa juga pernah beberapa kali keluar rumah tetapi balik semula selepas dua hari. Ini adalah kali pertama dia hilang dalam tempoh lama,” katanya.

Usaha pencarian mangsa bermula pada 4 November lalu selepas mangsa tidak pulang ke rumah selama empat hari.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 2:34pm
d