mutakhir

Tragedi konvoi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENUNGGANG motosikal berkuasa tinggi maut selepas melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 4 Jalan Sungai Tua-Ulu Yam Bharu berhampiran Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 10.15 pagi itu, mangsa, Zarir Osman, 52, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda CBR secara konvoi dari Selayang ke Genting Highlands.

“Sebaik tiba di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, mangsa tidak sempat mengelak MPV Proton Exora dipandu lelaki berusia 50 tahun yang masuk ke simpang sekolah itu untuk menghantar anaknya.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa melanggar bahagian belakang sebelah kiri MPV berkenaan menyebabkan mangsa parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Azman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta MPV terbabit dilaporkan cedera di bahagian pinggang dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

“Kejadian itu menyebabkan motosikal milik mangsa rosak di seluruh bahagian, manakala MPV berkenaan rosak di sebelah kiri bahagian penumpang belakang,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 2:37pm
d