mutakhir

Kedutaan untuk Palestin: Negara lain contohi Malaysia [METROTV]

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

LANGKAH berani Malaysia untuk membuka kedutaan buat Palestin di Jordan, membuka laluan untuk negara Islam lain mengambil inisiatif serupa.

Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata, langkah diumum Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah sokongan yang dicari Palestin daripada seluruh ummah.

“Rakyat Palestin menyambut baik inisiatif Malaysia yang mana selepas keputusan diumum Malaysia itu, ia memberi galakan kepada banyak lagi negara Islam untuk membuka kedutaan mereka.

“Sebagai contoh Kuwait juga sudah mengumumkan untuk mengambil langkah sama dengan membuka kedutaan mereka.

“Sokongan seperti inilah yang kita cari daripada seluruh ummah dan negara Islam untuk terus membantu menyokong perjuangan berterusan rakyat Palestin menentang kezaliman rejim Zionis,” katanya kepada pemberita di program Munaqasyah Yayasan MyAQSA (MyAQSA) di Putrajaya, hari ini.

Program bertajuk Ketahui Fakta Sebenar! Masjidil Aqsa dan Masjid Nabi Ibrahim itu disertai Pengarah dan Ketua Imam Masjidil Aqsa, Sheikh Omar Fahmi Awadallah Al-Kiswani; serta Imam dan Khatib Masjid Nabi Ibrahim Sheikh Atta Muhammad Faiz Atta Al-Muhtasib.

Turut hadir, Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif MyAQSA, Dr Noorazman Mohd Samsuddin.

Dr Mahathir ketika berucap di hadapan pemimpin dan wakil 120 negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di sidang kemuncak ke-18 badan itu di Baku, Azerbaijan, bulan lalu mengumumkan Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin.

Kedutaan yang akan ditempatkan di Jordan itu akan membolehkan Malaysia memberikan bantuan dan sokongan yang diperlukan rakyat Palestin.

Bagi Sheikh Atta, keputusan Malaysia itu disambut baik rakyat Palestin yang jelas membuktikan keprihatinan negara ini terhadap isu Palestin.

“Usaha ini juga mendapat maklum balas yang baik daripada kerajaan Jordan, jadi ia juga menjadi satu bentuk rangsangan kepada negara Islam lain untuk turut sama membantu,” katanya

Dalam pada itu beliau berkata, Amerika Syarikat (AS) wajar dilabelkan sebagai dalang yang menyokong keganasan rejim Zionis terhadap Palestin.

“Pengiktirafan Jurusalem oleh AS sebagai ibu negara Israel membuktikan mereka adalah tangan ghaib di belakang Israel selama ini, malah tindakan mereka menghentikan bantuan kewangan kepada Palestin juga menguatkan lagi bahawa mereka adalah dalang sebenar,” katanya.

Sementara itu Sheikh Omar menasihati umat Islam Malaysia supaya jangan berhenti menziarahi Palestin khususnya Masjidil Aqsa bagi membantu merancakkan ekonomi rakyat negara itu.

Beliau berkata, ziarah umat Islam ke negara yang cuba dirampas oleh rejim Zionis Israel itu juga akan membantu rakyat Palestin supaya tidak terus dizalimi.

“Saya mengajak rakyat Malaysia supaya teruskan menziarahi negara kami dan Masjidil Aqsa, kerana ziarah ini membuktikan bahawa umat Islam di Palestin tidak bersendirian dalam menangani keganasan Israel dan di belakang kami berdiri jutaan umat Islam,” katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 3:23pm
d