mutakhir

Tikam bini: Suspek didakwa tertekan

Oleh Hairulazim Mahmud

“DIA (suspek) kelihatan sangat tertekan sejak dua tiga bulan lalu akibat tekanan di tempat kerja,” kata sepupu kepada suspek dipercayai menikam isterinya yang hamil di Putrajaya, kelmarin.

Dia yang enggan dikenali berkata, kali terakhir berjumpa suspek ialah semasa pengebumian Allahyarham nenek mereka di Melaka.

Ketika itu katanya, wajah sepupunya itu sangat runsing dan bermasalah sepanjang waktu itu.

“Saya tanya dia kenapa muka nampak banyak masalah. Dia kata kerja teruk sangat.

“Saya suruh dia balik bekerja di Melaka sahaja memandangkan ada cawangan pejabatnya di situ dan dia kata akan balik selepas isterinya selamat bersalin,” katanya ketika ditemui di Putrajaya.

Dalam pada itu, sepupu lelaki suspek itu mendakwa, hubungan suspek dengan isterinya tidak pernah bermasalah.

Katanya, suspek yang rapat dengannya tidak pernah menceritakan sebarang konflik dengan mangsa.

“Yang saya tahu mereka tak ada masalah rumah tangga, semuanya baik sahaja,” katanya.

Malah katanya, hubungan kekeluargaan mereka semua sangat mesra dan rapat termasuk dengan mentua masing-masing.

Dia berkata, kejadian seperti itu adalah yang pertama kali dalam sejarah keluarga mereka.

Kelmarin, seorang guru wanita sarat mengandung berusia 35 tahun, parah ditikam suaminya yang kemurungan dipercayai akibat tekanan di tempat kerja.

Bagaimanapun, bayi berusia 37 minggu itu selamat dilahirkan melalui pembedahan.

Suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

'Saya tak ingat apa, terus pandu kereta'

Bayi guru ditikam selamat dilahirkan [METROTV]

Guru hamil ditikam suami

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 4:10pm
d