mutakhir

Portfolio baharu Selangor selaras bandar pintar [METROTV]

Oleh Nur Lela Zulkipli

SELANGOR bakal memperkenalkan Jawatankuasa Penyelarasan Bandar Berdaya Huni bagi menambah baik kesejahteraan kehidupan rakyatnya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, jawatankuasa itu berkuat kuasa tahun hadapan dan diletakkan di bawah EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri, Haniza Talha.

Katanya, ia juga akan menyokong pelaksanaan inisiatif di bawah Jawatankuasa Smart Selangor Mampan 2030.

“Jawatankuasa ini khas dirangka bagi memastikan pembangunan dan perancangan bandar lebih tersusun. Kebetulan kita ada EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar.

“Ini portfolio baharu yang kita wujudkan dua atau tiga tahun lalu kerana kita lihat kehidupan bandar ini perlu ada perancangan dan penelitian yang jitu.

“Sebagai contoh, kemiskinan bandar lebih membimbangkan berbanding kemiskinan luar bandar ketika ini dan dalam strategi kemampanan sosial pada pembentangan belanjawan lepas, kita meletakkan beberapa inisiatif untuk miskin bandar di samping meneruskan beberapa usaha ke arah menangani kehidupan dalam bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2019 Peringkat Kebangsaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Mohd Anuar Maidin.

Amirudin berkata, pihaknya menyokong usaha dan strategi dibawa Kerajaan Persekutuan berikutan mampu menyediakan kerangka jangka panjang dan pendek dalam menangani cabaran semasa perbandaran.

Katanya, pihaknya juga sedang mengatur strategi bagi memastikan Selangor terus mampan dan berdaya saing di semua peringkat.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 4:21pm
d