mutakhir

Nasib Najib diketahui esok

Oleh Murni Wan Omar

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengetahui nasibnya sama ada dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, esok.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan membacakan keputusannya pada 10 pagi.

Pendengaran kes itu ditutup selepas 57 saksi dipanggil untuk memberi keterangan, manakala hujah di akhir kes pendakwaan itu selesai pada 23 Oktober lalu.

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas manakala, pembelaan pula diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu bermula 3 April lalu dan hanya mengambil masa 58 hari untuk selesai memanggil semua saksi.

Jika pendakwaan gagal membuktikan keraguan melampaui munasabah, Najib akan dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Bagaimanapun jika diperintahkan membela diri, mahkamah sebelum ini sudah menetapkan 10 hari bermula 3 Disember hingga 4 Disember depan untuk Najib berbuat demikian.

Tarikh lain yang sudah ditetapkan ialah 9 Disember hingga 12 Disember dan bersambung pada 16 Disember hingga 19 Disember depan.

Antara saksi utama yang memberi keterangan ialah bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin; bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail; dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Kamariah Noruddin.

Selain itu turut dipanggil memberi keterangan ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama Kumpulan Wang (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Azian Mohd Noh, pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) termasuk pegawai bank yang mengendalikan akaun peribadi milik Najib.

Prosiding perbicaraan berjalan lancar dan hanya tiga kali penangguhan berlaku iaitu ketika peguam Harvinderjit Singh mengambil cuti sakit, Najib menghidap sakit mata dan ketika Ahli Parlimen Pekan itu menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Tommy dalam hujahnya sebelum ini berkata, adalah mustahil Najib tidak mempunyai kepentingan dalam dana RM42 juta milik SRC International kerana ia berakhir masuk ke dalam ‘poketnya’.

Menurutnya, Najib sebagai tertuduh adalah ‘Pengarah Bayangan’ untuk SRC International yang mendapat faedah dari segi kewangan.

“Fakta menunjukkan bahawa ia adalah tertuduh dan proksi beliau yang menarik tali di belakang tirai SRC. Jika tidak benar kenapa kerajaan berminat dan menarik semua tali bagi membantu SRC iaitu sebuah syarikat yang baru beroperasi tidak sampai setahun dan tidak mempunyai sebarang rekod.

“Kerajaan begitu berminat membantu memudahkan pinjaman RM2 bilion dan diikuti dengan RM2 bilion lagi dalam tempoh lapan bulan. Kesimpulan yang tidak dapat dielakkan dan menunjukkan kepentingan tertuduh dalam SRC,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee dalam hujahnya berkata, pertuduhan pecah amanah jenayah tidak terpakai kepada Najib kerana anak guamnya tidak mempunyai penguasaan dalam SRC International.

“Pihak pendakwaan sepatutnya membuktikan bahawa rancangan itu dibuat oleh Najib beberapa tahun lebih awal. Hanya selepas itu pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan boleh diguna pakai.

“Perlu dibuktikan bahawa ada ‘tangan’ Najib dalam perancangan ini tetapi dalam kes ini tiada dibuktikan. Beban pembuktian dalam kes pecah amanah jenayah adalah individu itu ada mengambil hak milik terhadap sesuatu,” katanya.

Muhamamd Shafee juga berhujah bahawa keterangan berdasarkan dengar cakap ‘hearsay’ tidak boleh diterima masuk sebagai bukti.

Muhammad Shafee merujuk kepada beberapa keterangan saksi yang merujuk kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho dan CEO SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil yang juga melarikan diri.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 6:02pm
d