mutakhir

Tiada lagi stesen minyak popular sempadan

Oleh Aizat Sharif

STESEN minyak yang sering menjadi persinggahan pengguna jalan raya jika ke Thailand melalui Jalan Padang Sanai di Padang Terap dirobohkan, hari ini.

Stesen dekat Kampung Padang Cenderai itu dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap (PDTPT) selepas didapati melanggar peraturan tanah pertanian untuk sekian lama.

Difahamkan, premis itu beroperasi sejak 2010 dan menjadi persinggahan terakhir pengguna jalan raya untuk mengisi minyak, selain menguruskan dokumentasi sebelum ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Kota Putra (KIK), Durian Burung untuk memasuki Thailand.

Pemilik stesen minyak itu, Liew Han Eng, 44, berkata, binaan premis sudah ada sejak 2006 dan pihaknya hanya mengambil alih operasi pada 2010 selepas mendapat kebenaran sewaan daripada pemilik tanah.

“Saya tidak faham mengapa stesen minyak ini mahu dirobohkan, sedangkan ia memberi kemudahan kepada pelbagai pengguna jalan raya untuk ke Thailand menggunakan Jalan Padang Sanai ini.

“Malah, segala peraturan sudah pun saya ikuti termasuklah peroleh lesen daripada pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan banyak lagi agensi serta pihak berkuasa terbabit.

“Jika mereka (PDTPT) mahu merobohkan pun, saya tidak dapat berbuat apa-apa tetapi mereka perlulah ikut aturan undang-undang kerana tiada pampasan diberikan kepada saya,” katanya ketika ditemui media di stesen minyaknya, hari ini.

Dakwanya, perobohan itu disebabkan langkah kerajaan negeri yang mahu menjadikan tapak sekitar Padang Sanai sebagai projek Kedah Rubber City (KRC) di masa hadapan.

“Apabila proses pengambilan semula tanah oleh pihak kerajaan diwartakan pada Disember 2016, kami agak terkejut kerana tiada sebarang pampasan diberikan kepada kami untuk penutupan operasi ini.

“Oleh itu, saya sudah pun mengemukakan rayuan permohonan pampasan daripada kerajaan negeri namun ditolak pada Oktober lalu, menyebabkan kami diarahkan untuk mengosongkan premis ini,” katanya.

Sementara itu, operasi perobohan stesen minyak itu dilaksana pada 2 petang dengan kerjasama Majlis Daerah Padang Terap yang turut dibantu polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Darulaman (SADA) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Menurut jurucakap PDTPT, tindakan diambil memandangkan pengusaha stesen minyak berkenaan melanggar syarat tanah pertanian kerana menjalankan perniagaan di tanah berstatus itu.

“Malah, kerja perobohan dijalankan mengikut undang-undang yang sudah ditetapkan, manakala notis pengosongan premis sudah diberikan selepas kerajaan negeri menolak rayuan pengusaha mengenai pampasan yang difahamkan ia sudah diberikan kepada pemilik tanah,” katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 7:54pm
d