mutakhir

Tular penyu mati bukan di Terengganu

Oleh BERNAMA

FOTO penemuan bangkai seekor penyu yang tular di media sosial, hari ini bukan berlaku di Terengganu, kata Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Mohammad Firdaus Abdillah.

Beliau berkata, kali terakhir bangkai penyu ditemui terdampar di Terengganu ialah pada 20 Oktober lalu iaitu di Teluk Lipat, Dungun.

“Sebenarnya, saya sudah terima gambar bangkai penyu itu Khamis lalu (7 November) dan hasil siasatan mendapati ia bukanlah kes di Terengganu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

“Sehubungan itu, saya berharap orang ramai tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat yang tidak sahih di media sosial kerana ia hanya mengelirukan masyarakat tambahan pula penyu adalah haiwan yang diancam kepupusan dan kes sebegini memang menjadi perhatian ramai walaupun ia tidak benar,” katanya.

Tiga keping gambar bangkai penyu yang dimuat naik oleh seorang individu di laman Facebook ‘Gabungan Anak Terengganu (Original)’ hari ini sehingga 7.50 petang, menerima 202 komen dan 46 perkongsian oleh netizen.

Posting itu yang mendakwa penyu itu mati akibat diseksa dengan kejam di Terengganu, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen, yang mana ramai marah kepada pelakunya yang kejam serta ada bersimpati dengan nasib penyu itu.

Namun ada yang mengatakan posting itu hanya bertujuan memburukkan nama Terengganu kerana ia berlaku di tempat lain.

Mengulas lanjut, Mohammad Firdaus berkata, sejak 1 Januari hingga Oktober lalu, 70 kematian penyu direkodkan berlaku di Terengganu atas pelbagai sebab seperti cedera dan terperangkap di jaring pukat.

“Saya berharap orang ramai yang menemui bangkai penyu atau penyu yang mengalami kecederaan di Terengganu agar menghubungi kami di talian 09-8444169 untuk membolehkan kumpulan penyelamat mengambil tindakan segera.

“Keprihatinan orang ramai sangat membantu kami dalam menyelamatkan haiwan yang tercedera atau memastikan bangkainya dapat diuruskan dengan mengikut kaedah yang sesuai,” katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 9:00pm
d