mutakhir

Terima kasih TUDM

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa wanita yang mengalami gangguan kronik pada otak dan saraf tunjang mengakibatkan lumpuh.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan berkata, pesakit dikenali sebagai Salmiah berusia 24 tahun diterbangkan dari Pangkalan Udara Butterworth ke Lapangan

Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan menggunakan pesawat A400M milik TUDM daripada No 22 Skuadron.

“Pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang ini memulakan penerbangan ke Pangkalan Udara Butterworth pada 12 tengah hari.

“Pesawat berlepas 2.15 petang dari Pangkalan Udara Butterworth membawa pesakit dan selamat mendarat 5.30 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA),” katanya.

Menurut kenyataan itu, turut mengiringi pesakit adalah ibu dan bapa pesakit, jururawat serta doktor dari Hospital Seberang Jaya.

“Pesakit dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya sejak 27 Ogos lalu terpaksa dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu bagi memudahkan urusan pemantauan dan penjagaan pesakit.

“Penerbangan yang mengambil masa tiga jam 15 minit itu dikendalikan Mejar Lo Che Seng selaku juruterbang dan pembantu juruterbang, Kapten Mohd Amir Shahrin serta empat krew pesawat,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 12:46am
d