mutakhir

Lokan bakar keju

Oleh Siti Rohana Idris

TUMPAT: Seorang pencari lokan mampu menjual antara 400 hingga 600 lokan bakar keju atau cheese yang disediakan setiap minggu untuk dijual di pasar terapung Kampung Pulau Suri, di sini.

Shahril Hussin, 34, berkata, dia mengambil peluang berniaga di pasar terapung itu daripada hasil lokan yang dicarinya sendiri di pinggir Sungai Kelantan di kampung itu.

“Saya menjualnya dengan harga RM5 untuk 15 biji lokan pelbagai saiz manakala untuk menu bakar biasa pula dengan harga yang sama tapi kuantiti antara 20 hingga 25 biji.

“Pembeli memberi maklum balas yang positif kerana menganggap menu lokan cheese itu sesuatu yang baharu berbanding kebanyakan yang dijual hanya dibakar dan diletakkan sos pencicah di atasnya,” katanya ketika ditemui di pasar terapung Pulau Suri di sini, semalam.

Lokan yang dibakar Shahril akan diletakkan sedikit ketulan keju sebelum dicairkan menggunakan alat pembakar gas dan kemudian sedia dihidangkan kepada pengunjung yang ingin menikmatinya dalam keadaan masih panas di tebing sungai itu.

Katanya, setiap Sabtu memang sentiasa ditunggu kerana rezekinya akan mencurah dan mampu memperoleh hingga RM200 sepanjang tempoh lima jam berniaga.

“Setiap kali berniaga di pasar terapung, menu lokan bakar cheese memang mendapat sambutan dan adakalanya tidak menang tangan untuk saya hasilkan.

“Jika hari biasa iaitu selain Sabtu, saya akan mengambil upah mencari lokan yang diminta dan biasanya akan dibayar RM10 untuk 100 biji,” katanya yang juga antara 20 peniaga menggunakan bot berniaga di pasar terapung Pulau Suri, di sini.

Diuruskan oleh Masseroja Travel & Tour Sdn Bhd, pasar terapung itu dibuka setiap Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 3 petang.

Pengarah Urusannya, Ahmad Saifuddin Ibrahim, berkata lokasi itu baharu dibuka sejak Mac lalu di tanah yang dibelinya seluas satu hektar dan masih banyak prasarana yang perlu ditambah.

“Ketika awal pembukaannya, pengunjung yang datang hanya sekitar 200 hingga 300 orang namun sekarang mencecah 1,000 pengunjung.

“Daripada respons yang kami terima, pengunjung memaklumkan makanan yang dijual sedap serta harga yang murah menjadi tarikan mereka untuk terus datang malah kami tidak meletakkan caj untuk masuk ke lokasi ini,” katanya.

Katanya, setiap peniaga juga tidak dikenakan sebarang bayaran untuk berniaga dan misi syarikatnya hanyalah untuk membangunkan kawasan sekitar serta membantu menjana ekonomi penduduk kampung terutama memperkenalkan produk kampung terbabit kepada orang luar.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 6:00am
d