mutakhir

Waspada bendera merah!

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA NERUS: Walaupun negeri ini mula memasuki musim Monsun Timur Laut yang sekali gus menandakan fenomena ombak besar dan hujan lebat bermula, orang ramai masih dilihat mengambil kesempatan untuk bermain dan mandi di tepi pantai.

Ia menimbulkan kebimbangan risiko keselamatan terutama kemungkinan berlaku kes lemas, dengan keadaan ombak besar dan laut bergelora menghempas pantai.

Tinjauan di Pantai Kolam, Mengabang Telipot di sini, dan Pulau Kekabu di Marang mendapati ada pengunjung tidak menghiraukan keselamatan diri dengan mandi di tepi pantai walaupun dihempas ombak besar.

Peniaga kedai makan di Kampung Kolam, Rohani Jusoh, 53, berkata, memang ada segelintir yang berani dan hanya memikirkan keseronokan dengan mandi di pantai walaupun keadaan cuaca tidak begitu baik.

“Memang ada mereka yang mandi, ada segelintir penduduk setempat, ada juga pelancong luar kerana mereka lihat pantai di sini cantik dan bersih.

“Lagipun tiada papan tanda larangan mandi di situ. Jika pelancong luar datang, mulanya mereka hanya berjalan di gigi pantai, tetapi kemudian anak-anak mereka rasa seronok mahu mandi, sebab itu kita lihat ada yang mandi walaupun ombak besar,” katanya.

Di Pulau Kekabu pula, sekumpulan kanak-kanak dipercayai penduduk setempat dilihat bersuka ria mandi di kawasan pantai itu tanpa pemantauan orang dewasa walaupun keadaan ombak kuat dan berbahaya untuk mereka.

Bagaimanapun, mereka diberi amaran oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia yang berada di situ untuk memasang bendera amaran kawasan pantai berbahaya dan larangan mandi.

“Mereka cuma tahu seronok mandi pantai tanpa memikirkan risiko keselamatan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Kita harap dengan pemasangan bendera ini larangan supaya tidak mandi di sini dipatuhi,” kata anggota APM itu yang enggan namanya disiarkan.

Sementara itu Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan keadaan laut bergelora ketika ini tidak ketara, orang ramai perlu mengambil langkah waspada dengan mengelak mengunjungi kawasan pantai.

“Kita akui musim cuti sekolah menyebabkan ramai berkunjung ke negeri ini untuk bercuti dan seperti biasa kawasan pantai antara yang menjadi tumpuan. Namun ingin kita ingatkan supaya mereka mengelak berada di kawasan pantai terutama untuk mandi.

“Seperti di Pantai Kolam, keadaan di situ yang agak cantik selepas ia ditambak selain lokasinya berhampiran kawasan tarikan makanan popular di Terengganu iaitu ikan celup tepung menyebabkan kawasan pantai dipenuhi pengunjung yang mahu bermain air,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 6:30am
d