mutakhir

Perbicaraan kes rogol babit EXCO Perak bermula hari ini

Oleh Shaarani Ismail

PERBICARAAN kes rogol membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong bermula hari ini membabitkan keterangan daripada saksi utama iaitu pembantu rumah warga Indonesia yang juga mangsa dalam kes berkenaan.

Prosiding perbicaraan hari pertama itu bagaimanapun dilakukan secara tertutup kerana tertakluk kepada Akta Perlindungan Saksi dan saksi utama itu difahamkan sudah tiba di mahkamah.

Difahamkan saksi tiba di perkarangan kompleks dengan menaiki kenderaan dari Jabatan Perdana Menteri.

Media dan orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan kes berkenaan memenuhi perkarangan pintu masuk mahkamah seawal 7.30 pagi, dengan pintu masuk utama dikawal ketat polis.

Media turut dilarang daripada memasuki kompleks mahkamah kecuali mereka yang bertugas serta mempunyai urusan rasmi sahaja.

Choo Kiong kemudian kelihatan tiba dengan menaiki kenderaan peribadi jenis BMW berwarna hitam pada 8.55 pagi dengan disambut penyokongnya yang melaungkan ‘Hidup Paul Yong’.

Tertuduh yang memakai sut kelabu turut mengangkat tangan dari luar kenderaan kepada kira-kira 200 penyokongnya yang difahamkan datang dengan menaiki dua bas.

Perbicaraan akan diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga 15 November.

Choo Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh didakwa merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun antara 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu di bilik di tingkat atas di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 10:14am
d