mutakhir

Noda rindu

Oleh Zuliaty Zulkiffli

ALASAN bertemu kerana rindu menyebabkan sepasang kekasih bertindak menyewa bilik hotel di Sungai Petani, sebelum mereka dicekup berkhalwat, semalam.

Wanita berusia 30-an yang juga penjawat awam itu dicekup bersama lelaki berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dalam operasi sekitar 12 tengah malam.

Wanita itu ditemui hanya berselimut di atas katil, manakala pasangannya hanya berseluar tanpa baju oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Mereka adalah antara sembilan pasangan yang dicekup berkhalwat di beberapa hotel di sekitar daerah ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, operasi tertumpu di sekitar kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan pasangan melakukan maksiat.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan dua saman mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

“Dalam operasi ini juga, kita menahan sembilan pasangan dalam pemeriksaan di beberapa hotel bajet di daerah ini.

“Semua yang ditahan berusia 20-an hingga 40-an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Radzi berkata, dalam pada itu, seorang lelaki dicekup berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam di satu daripada hotel yang diperiksa.

Beliau berkata, operasi disertai seramai 36 anggota termasuk dari JAIK, Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM), Pejabat Agama Daerah Yan (PADY) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

“Hasil pemeriksaan mendapati semua pasangan yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri yang menimbulkan syak melakukan maksiat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Radzi berkata, operasi dilakukan berikutan banyak aduan awam yang diterima berkaitan gejala maksiat di daerah ini menyebabkan anggotanya melakukan operasi bersepadu itu semalam.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 10:27am
d