mutakhir

Pemandu bas didakwa [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

PEMANDU bas yang merempuh pelajar sehingga maut di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas, Khamis lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini.

Tertuduh S Peter Paul, 49, yang juga bapa tunggal mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Tajudin Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pada 6.30 petang hari kejadian didakwa memandu bas di bawah pengaruh dadah dan gagal mengawal kenderaan itu sehingga menyebabkan kematian terhadap Muhammad Saifullah Mohammad Hafeiz, 16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000 dan penjara minimum tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 ke atas tertuduh atas alasan kemalangan membabitkan kematian tragis ke atas mangsa.

Peguam tertuduh, S Yagoo meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh bekerja sambilan dengan gaji RM1,400 dan terpaksa menyara ibu dan tiga anak.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM12,000 ke atas tertuduh dan 5 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat, patologi dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Berita berkaitan

Maut dirempuh bas [METROTV]

[UPDATE] Mangsa maut adalah pelajar, penghantar makanan

Pemandu bas positif dadah

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 10:41am
d