mutakhir

Maszlee sebak tunaikan janji Allahyarham Md Farid

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“SAYA sebak tak sempat datang (ke majlis pecah tanah) waktu beliau hidup,” kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkongsi perasaan pada Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 24, Pekan Nanas, Pontian, hari ini.

Suasana sedih menyelubungi Dr Maszlee ketika memulakan ucapan di hadapan guru, ibu bapa dan murid sekolah berkenaan, 8 pagi tadi.

Beliau secara spontan mengimbau kenangan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang begitu peka mengenai kebajikan pelajar di kawasannya.

“Ada perkara yang saya sedih sebenarnya. Saya bertambah sebak bila program yang dihadiri pagi ini ada kaitan dengan beliau (Allahyarham Dr Md Farid).

“Setiap kali berjumpa di Parlimen dan setiap kali berjumpa dalam majlis masyarakat, beliau (Allahyarham) akan tanya mengenai isu pendidikan di kawasan Pontian, Tanjung Piai, Kukup dan Pekan Nanas,” katanya dalam ucapannya.

Menurutnya, kesungguhan Allahyarham tidak dapat disangkal bahkan sentiasa memikirkan yang terbaik untuk anak bangsa di kawasannya.

“Antara benda (perkara) yang dia selalu bual dengan saya ialah mengenai dewan terbuka.

“Dia yang memanggil saya dengan nama ‘Lee’ sering meminta dewan terbuka di kawasan Parlimen Tanjung Piai,” katanya.

Menurutnya, melihat banyak keperluan dewan terbuka di seluruh negara, maka peruntukkan diagihkan menjelang hujung tahun bergantung sumber kewangan yang ada.

“Dia (arwah) minta banyak, boleh kata semua sekolah dia minta, tapi kita mampu salurkan mengikut peruntukan yang ada,” katanya.

Menurutnya, perkara paling menyentuh emosinya sebagai sahabat mengotakan janjinya selepas ketiadaan pemimpin terbabit.

“Memang saya sebak, sebab saya janji dengan beliau untuk datang (hadiri majlis pecah tanah), tapi tidak sempat datang waktu (ketika) dia hidup.

“Alhamdulillah, kita nak sampaikan hajatnya sebelum hujung tahun dan saya sudah tunaikan janji itu,” katanya.

Menurutnya, kehadirannya pada majlis itu bagi menyempurnakan hasrat Allahyarham menyelesaikan pembinaan dewan terbuka di enam sekolah di Tanjung Piai.

“Saya pernah berjanji untuk membantu beliau tapi malangnya saya datang ke sini ketika beliau tiada lagi.

“Kita dapat menyampaikam hasrat beliau menerusi inisiatif pembinaan enam dewan dengan peruntukkan RM3 juta,” katanya.

Enam sekolah yang bakal memperoleh manfaat dari pembinaan dewan terbuka itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup, SK Andek Mori Serkat, SK Batu 24, SK Jeram Batu, SK Pengkalan Raja dan SK Parit Haji Adnan.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 12:41pm
d