mutakhir

ATM belajar Bahasa Arab

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan kursus bahasa Arab dalam usaha meningkatkan kualiti penguasaan bahasa asing dalam kalangan warganya.

Kursus asas tajaan Kedutaan Arab Saudi dengan kerjasama ATM dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu juga menjadi satu daripada inisiatif persediaan kepada pegawai serta anggota ATM bakal terbabit dalam misi pengaman di Timur Tengah di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Perpustakaan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) Kolonel Khairuddin Mohd Noor berkata, ATM menyambut baik tawaran Kedutaan Arab Saudi yang menaja kursus bahasa Arab berkenaan yang dikendalikan oleh pengajar dari Sudan dan Syria.

“Penguasaan bahasa Arab adalah penting berikutan ATM terbabit dengan misi pengaman di bawah panji PBB di Lubnan selain penempatan di Pejabat Atase Pertahanan di negara yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa utama.

“Dengan kursus seperti ini, pegawai serta anggota yang bakal ditempatkan sama ada di Pejabat Atase pertahanan atau di bawah misi pengaman setidak-tidaknya sudah mempunyai asas bahasa negara berkenaan bagi memudahkan mereka berkomunikasi termasuk dengan rakyat tempatan,” katanya ketika ditemui ketika Majlis Penutupan Kursus Asas Bahasa Arab di The Saudi School, di Kuala Lumpur.

Hadir sama Duta Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan, Atase Pertahanan Arab Saudi di Malaysia Brigadier Jeneral Abdullah Khaled Alyam, Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Mejar Jeneral Datuk Kamaruddin Mamat dan Penolong Naib canselor UPNM Prof Datuk Dr Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi.

Khairuddin berkata, seramai 15 pegawai dan anggota Tentera Darat (TD), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta kakitangan UPNM telah dipilih dan berjaya menamatkan kursus selama enam minggu itu.

Katanya, selain kursus asas itu, pihak Kedutaan Arab Saudi turut menawarkan tajaan kursus penguasaan bahasa Arab di peringkat lebih tinggi.

“Bagaimanapun, buat permulaan ATM bersetuju agar kursus asas diadakan terlebih dahulu membabitkan beberapa kumpulan peserta lain.

“Apabila mereka sudah menguasai asas bahasa Arab itu, barulah kita adakan pula kursus peringkat lebih tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 2:21pm
d