mutakhir

[UPDATE] Eddin Syazlee stabil

Oleh Faliq Lajim

KEADAAN Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith dilaporkan stabil dan masih dirawat di Institusi Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Setiausaha Sulit Kanannya, Datuk Nasarudin Mahmud berkata, sekiranya tiada apa-apa beliau sudah boleh keluar daripada IJN pada petang ini.

“Beliau sedikit penat berikutan tidak cukup rehat selain ‘water retention’ dalam badan. Disebabkan itu beliau letih sehingga mengalami sesak nafas.

“Sepatutnya, beliau mempunyai temu janji untuk pemeriksaan kesihatannya pada Jumaat lalu di IJN tetapi ia terpaksa ditangguhkan disebabkan berkempen di Tanjung Piai, Johor.

“Pemeriksaan itu kemudiannya ditangguhkan hari ini pada 12 tengah hari tetapi beliau hadir untuk ke Parlimen terlebih dulu untuk sesi soal jawab sebelum ke IJN,” katanya kepada Harian Metro melalui aplikasi Whatsapp.

Terdahulu Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah dikejarkan ke IJN selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas pada sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini.

Beliau mengadu sesak nafas ketika sesi jawab lisan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Berikutan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon menangguhkan sidang selama 10 minit bagi memberi ruang kepada pegawai perubatan untuk merawat Eddin Syazlee.

Berita berkaitan

[UPDATE] Eddin Syazlee dibawa ke IJN

Dewan Rakyat: Eddin Syazlee pengsan ketika sesi soal jawab [METROTV]

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 4:51pm
d