mutakhir

Kompaun RM1,000 kantoi seludup 'flower horn'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LELAKI warga tempatan ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis apabila cuba menyeludup 148 anak ikan ‘flower horn’ di Kompleks Kastam, Imigresen, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar.

Dalam kejadian jam 5 petang Jumaat lalu, semua anak ikan bernilai RM2,300 disorokkan dalam tempat simpanan tayar ganti.

Pengarah MAQIS Perlis, Khairi Arif berkata, lelaki berusia 30-an dikesan memasuki negara ini melalui laluan awam menaiki Proton Saga Iswara sebelum ditahan.

“Hasil pemeriksaan menemui anak ikan hiasan dari keluarga ‘louhan kamfa anakan’ dan ‘louhan kamfa local’ disimpan dalam 148 bungkusan plastik lut sinar berisi air.

“Lelaki berkenaan gagal mengemukakan dokumen sah atau permit import bagi membawa masuk semua jenis ikan berkenaan ke negara ini.

“Kita sudah membebaskan suspek hari ini selepas dikenakan kompaun RM1,000 pihak mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 7:31pm
d