mutakhir

Perbicaraan kes 1MDB tangguh Rabu

Oleh Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, menangguhkan prosiding perbicaraan kes skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Rabu ini (13 November).

Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon kepada mahkamah untuk melapangkan prosiding pada sebelah petang dan esok berikutan saksi kesembilan kes itu tidak sihat.

Terdahulu pada sidang sebelah pagi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang kini dalam peringkat soalan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa beliau tidak sihat tetapi masih boleh terus memberi keterangan.

Sementara itu, Muhammad Shafee juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau juga tidak sihat bagaimanapun, tetap terus menyoal saksi dengan keadaan suara yang serak.

Prosiding berlangsung hampir satu jam sebelum berhenti pada 10.05 pagi bagi memberi laluan keputusan skandal dana SRC International Sdn Bhd yang membabitkan Najib dibacakan.

Sebaik bersambung semula pada 12.30 tengah hari, Sri Ram memohon kepada mahkamah untuk dilapangkan bagi membolehkan Shahrol mendapatkan rawatan kerana bimbang keadaan kesihatannya akan mengganggu proses memberi keterangan.

Hakim Collin membenarkan permohonan itu.

Terdahulu, Muhammad Shafee membangkitkan isu berhubung perlantikan Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil dan Jasmine Loo Ang Swan (peguam 1MDB).

Nik Faisal dan Jasmine sehingga kini masih menghilangkan diri dan gagal ditemui.

Shahrol memberi keterangan dalam kes membabitkan Najib yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion.

SHAFEE: (Merujuk kepada dokumen sokongan oleh Ahli Lembaga Pengarah 1MDB) Bila Nik Faisal dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB?

SHAHROL: Jika merujuk kepada surat perlantikan 2010.

SHAFEE: Boleh kamu berikan kepada mahkamah surat itu?

SHAHROL: Oh saya tidak ada, kena minta dengan pegawai penyiasat.

SHAFEE: Nik Faisal sebelum ini bekerja di UBG Bhd?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: UBG adalah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low? Oleh itu Nik Faisal dilantik dari syarikat Jho Low?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Adakah perlantikan Nik Faisal ini disokong oleh Najib?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Adakah Jho Low yang mencadangkan Nik Faisal?

SHAHROL: Pada 2009, saya ada bertanya kepada Casey Tang (Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee) yang ketika itu di dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sama ada beliau boleh mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Pelaburan dan beliau berkata tidak boleh. Oleh itu saya bertanya kepada Jho Low dan nama Nik Faisal yang ‘naik’.

SHAFEE: Bagaimana dengan Jasmine Loo?

SHAHROL: Saya yang bertanya kepada Jho Low sama ada boleh melantik Jasmine Loo sebagai peguam mewakili syarikat. Pada mulanya beliau (Jho Low) enggan berbuat demikian tetapi jika Jasmine bersetuju, dia juga bersetuju.

SHAFEE: Jasmine juga bekerja sebagai peguam di UBG sebelum ini?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Ramai daripada mereka daripada syarikat milik Jho Low?

SHAHROL: Ya.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 8:33pm
d