mutakhir

Mahathir terkejut Najib terkejut

Oleh Hairulazim Mahmud dan Siti A’isyah Sukaimi

“SAYA lagi terkejut dia terkejut,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Najib yang terkejut dengan keputusan itu dimaklumkan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mematuhi peraturan dan undang-undang sehingga Najib dihadapkan ke mahkamah.

“Kita pastikan dia ke mahkamah. Perbicaraan (Najib) mengambil masa berbulan-bulan, itulah cara kita mentadbir kerajaan.

“Bukan seperti mereka (Barisan Nasional) menahan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang tanpa sebab.

“Itulah cara mereka, menahan tanpa bertanya tetapi Najib menghadapi prosedur berjalan lancar, diberi ikat jamin malah berpeluang pergi berkempen, walaupun sakit mata.

“Kempen okey, mahkamah tak boleh,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Media melaporkan, Najib terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkannya membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan dalam perbicaraan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Muhammad Shafee dipetik berkata, sebelum ini mereka yakin Najib akan dibebaskan tanpa perlu membela diri.

Sementara itu, Dr Mahathir mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti campur tangan terhadap kes dihadapi Najib supaya mengemukakan bukti.

“Jika anda boleh buktikan, boleh berbuat demikian. Saya tidak pernah campur tangan dengan mahkamah.

“Sewaktu zaman saya, mahkamah mengharamkan parti saya dan saya lalui cara yang betul,” katanya.

Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam mendakwa wujud campur tangan Perdana Menteri membabitkan kes dihadapi bekas perdana menteri itu.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 9:16pm
d