mutakhir

Aset wakaf perlu diurus secara profesional

Oleh Mohd Hilmie Hussin

ASET wakaf harus menghasilkan pendapatan, sekali gus membantu perkembangan ekonomi ummah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, hanya sedikit aset termasuk tanah diwakafkan menjana pendapatan.

Menurut beliau, di negara ini hanya 12 peratus daripada 31,000 hektar tanah yang diwakaf sudah dibangunkan.

Namun katanya, kebanyakan tanah wakaf di negara ini hanya dibangunkan untuk tujuan keagamaan seperti membina masjid, perkuburan Islam dan sekolah aliran Islam.

“Hanya sedikit aset wakaf dibangunkan untuk tujuan sosial-ekonomi inklusif seperti pusat perniagaan dan hab pengangkutan yang mampu menjana pendapatan, membantu perkembangan ekonomi ummah.

“Harta wakaf ini satu amanah yang akan dihitung di akhirat kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Global Wakaf ke-7 anjuran Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di Desa Petaling, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Mediu, Putera Dr Bandar Bin Salman dan Pengerusi Persidangan Global Wakaf ke-7, Prof Dr Wan Sulaiman Wan Yusuf.

Dr Wan Azizah berkata, Malaysia seperti negara Islam lain berdepan persepsi dalam pengurusan institusi dan harta wakaf seperti dihadapi dunia ketika ini.

“Persepsi ini timbul akibat kekurangan pengetahuan dan kecekapan dalam kalangan ahli pengurusan dan pentadbiran.

“Meskipun memiliki sumber aset besar, institusi wakaf masih berdepan kekangan dalam kewangan untuk membangunkan aset itu. Ia diburukkan lagi dengan kekurangan rangka kerja undang-undang mengenai pentadbiran wakaf serta telus,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah mencadangkan institusi wakaf diuruskan eksekutif profesional yang bukan sahaja berpengetahuan dan cekap dalam perspektif agama, namun handal dalam pembangunan harta, teknologi maklumat (IT), pemasaran, pelaburan, kewangan dan perakaunan.

“Penting untuk menerapkan teknologi moden menggantikan proses lama dalam pengurusan dan pentadbiran wakaf.

“Kolaborasi antara penguat kuasa wakaf dan institusi berkaitan seperti badan kewangan Islam dan pemaju hartanah juga penting untuk memastikan aset itu memberi keuntungan kepada sosial-ekonomi ummah,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Dr Wan Azizah menyampaikan Anugerah Ikon GWC kepada bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Allahyarham Tan Sri Ali Hashim yang diwakili anak perempuannya, Alia Muhammad Ali.

Turut menerima penghargaan ialah Profesor Undang-Undang, Prof Dr Syed Khalid Rashid bagi Anugerah Pencapaian Seumur Hidup, UDA Holding Bhd (Organisasi Promosi dan Inovasi Wakaf Terbaik) dan Yayasan Kaseh Sayang Negeri Sembilan (Pembangunan Komuniti Wakaf Terbaik).

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 11:36pm
d