mutakhir

'Longkai' berparang rebut pelanggan

Oleh Hadzlihady Hassan

HANYA mahu berebutkan pelanggan, dua lelaki diserang dan ditetak sekumpulan empat penarik kereta di Taman Cemerlang, Jelutong, Georgetown, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, mangsa berusia 19 tahun menerima 57 jahitan di kepala, 10 di tangan kanan serta cedera di belakang badan akibat ditetak menggunakan parang dan pisau.

Manakala rakannya berusia 20-an turut mengalami kecederaan di pinggang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada dua kumpulan penarik kereta kerana berebut untuk menarik kenderaan yang terbabit kemalangan di Sungai Pinang.

Menurutnya, pemilik kenderaan itu pada mulanya menghubungi kumpulan penarik kereta yang menyerang mangsa.

“Bagaimanapun, suspek yang tiba melihat kumpulan penarik kereta daripada bengkel lain sudah berada di lokasi kemalangan.

“Kumpulan penarik kereta berkenaan kemudian mengatakan suspek dan rakannya tidak menghormati mereka sebelum berlaku pertengkaran serta cabar mencabar.” katanya.

Che Zaimani berkata, suspek yang tidak berpuas hati kemudian menghubungi tiga rakannya sebelum mereka menyerbu tempat mangsa berkumpul.

“Semua suspek memakai topeng dan menyerang serta menetak mangsa yang ketika itu berada bersama kira-kira tujuh rakannya.

“Bagaimanapun, rakan mangsa yang membuat laporan polis mendakwa dapat mengecam baju dipakai suspek selain turut memberitahu yang mereka sebelum itu bertengkar ketika mahu menarik kereta,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, polis berjaya menahan semua suspek berusia 23 hingga 44 tahun.

“Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah manakala dua lagi tidak tidak mempunyai sebarang rekod.

“Kita turut merampas senjata dan juga pakaian digunakan suspek ketika menyerang mangsa,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 148 KK.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 11:48pm
d