mutakhir

Kasihan 12 beranak

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

KESEMPITAN hidup dialami 12 beranak memaksa mereka tinggal dalam keadaan berhimpit dan tidak selesa di rumah uzur di Kampung Talang Tengah.

Maimun Kasadi, 53, berkata, rumah tinggalan arwah bapanya kini dihuni bersama suami, Azizi Rashid, 60, serta tujuh anak mereka berusia 11 hingga 31 tahun selain tiga cucu berusia tiga hingga lima tahun.

Keadaan rumah dihuni sempit selain tidak mampu menggantikan sebahagian besar cermin tingkap yang pecah. Beberapa peralatan elektrik seperti kipas siling juga tidak dibaiki disebabkan kekangan wang.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan mereka sekeluarga terpaksa tinggal dalam keadaan hanya ditutupi kain langsir selain rangka tingkap juga mulai reput.

Ibu 10 anak itu berkata, pendapatan suaminya sebagai tukang kebun sekolah hanya RM850 sebulan selain wang pemberian tiga daripada tujuh anak yang tinggal bersama belum mampu membuatkan 12 isi rumah itu hidup selesa.

Bantuan bulanan RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima Azizi sebagai orang kurang upaya (OKU) selain bantuan persekolahan RM300 sebulan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hanya cukup makan.

“Suami perlu menanggung saya bersama empat anak yang masih bersekolah. Walaupun cacat tiga jari tangan kanan, dia perlu bekerja.

“Tiga lagi anak yang tinggal bersama pula sudah bekerja masing-masing sebagai tukang cuci, operator kilang dan bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa.

“Biarpun hidup susah, kami tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak dengan menghantar mereka ke sekolah,” katanya.

Dua anaknya yang lain mempunyai kehidupan sendiri manakala seorang meninggal dunia.

Maimun berkata, tahap kesihatannya yang merosot kerana menghidap kencing manis dan darah tinggi selain menghidap penyakit kulit memaksanya berhenti kerja sebagai tukang cuci di hospital.

“Disebabkan tahap kencing manis terlampau tinggi, saya terpaksa berhenti kerja kerana bimbang kejadian tidak diingini semasa bekerja,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Maimun di talian 011-37896494.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 6:10am
d