mutakhir

Dua rakan selamat rumah terbakar

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DUA rakan sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah unit di Blok Q Rumah Pangsa Garden Avenue di Seremban hari ini.

Ehsan Hilmi Asihar, 15, tidur di ruang tamu dan rakannya Adam Ramlee, 15, tidur di bilik manakala ibu bapa Ehsan Hilmi tiada di rumah dalam kejadian 6.50 pagi itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy berkata, dua pegawai bersama 12 anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan 7 pagi.

“Sebaik tiba, jentera bomba berdepan kesukaran untuk masuk ke lokasi kerana laluan terhalang oleh kenderaan penghuni yang diparkir tepi jalan. Bomba mengambil masa lima minit menunggu kenderaan dialihkan.

“Bomba berjaya tiba di lokasi dan segera mengawal kebakaran di bahagian dapur rumah itu daripada merebak ke ruang lain serta unit bersebelahan.

“Api dapat dipadamkan sepenuhnya 10 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Syazwan berkata, kediaman itu musnah 30 peratus.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat anak pemilik rumah iaitu Ehsan Hilmi mendakwa terhidu bau hangit dan melihat api marak di bahagian dapur lalu keluar mencari alat pemadam api.

“Secara kebetulan, seorang jiran lelaki turun tangga dan dia menjerit rumah terbakar.

“Lelaki itu masuk ke rumah dan menyelamatkan rakan yang sedang tidur di dalam bilik sebelum menghubungi bomba,” katanya.

Bagaimanapun katanya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 11:23am
d